Isnin, 26 Oktober 2009

Rabu, 7 Oktober 2009

MERENTAS DESA

Sukacita dimaklumkan bahawa SK Pandan Indah akan mengadakan acara Merentas Desa pada ketetapan seperti di bawah:

Tarikh
15hb Oktober 2009 (Khamis)

Masa
7.30 pagi

Jarak Larian
Mengikut kategori umur

Para pelajar yang ingin mengikuti acara ini diminta mendapatkan kebenraran ibubapa sera disahkan tidak mengalami sebarang penyakit yang boleh mendatangkan kemudaratan.

Sekian harap maklum ...

Jumaat, 18 September 2009

Rabu, 16 September 2009

PENUBUHAN MALAYSIA (16 SEPTEMBER 1963)


"Lambat laun Persekutuan Tanah Melayu harus mendapat persefahaman dengan kerajaan Great Britain dan rakyat ketiga-tiga wilayah Borneo (Sabah, Sarawak, Brunei) dan Singapura" ... Tunku Abdul Rahman, 27 Mei 1961, Singapura.

Rancangan penubuhan Malaysia telah lama difikirkan oleh Tunku Abdul Rahman memandangkan keadaan dan kedudukan Tanah Melayu serta nasib 3 wilayah Borneo dan Singapura yang semuanya mempunyai kaitan dengan Tanah Melayu baik dari segi ekonomi, keselamatan dan politik.

Pada 16 Oktober 1961 Tunku Abdul Rahman membentangkan konsep Malaysia di Parlimen. Antara konsep tersebut termasuklah jaminan kedudukan ekonomi yang stabil dan pembendungan kegiatan subversif komunis. Disamping itu, ianya juga mengelakkan sebarang bentuk penjajahan di rantau ini.

Pada 20 November 1961 Tunku Abdul Rahman berlepas ke London untuk mengadakan rundingan dengan Kerajaan Britain. Berbagai perkara telah dibincangkan di dalam rundingan 3 hari ini seperti penggunaan Pengkalan Tentera Udara di Singapura, pemindahan kedaulatan pulau Singapura kepada Tanah Melayu. Juga turut dipersetujui adalah penubuhan Suruhanjaya Cobbold bagi mendapatkan pandangan penduduk Sabah dan Sarawak berkenaan penubuhan Malaysia. Persetujuan telah dicapai untuk pembentukan negara baru, Malaysia pada 31 Ogos 1963.

Namun disebalik persetujuan ini, beberapa halangan harus ditempuhi seperti tentangan Parti Komunis Indonesia yang mendakwa Malaysia adalah projek kerajaan Britain. Juga tuntutan kerajaan Filipina terhadap Sabah serta kerajaan Indonesia yang terang-terangan menghalang sambil mengumumkan dasar konfrantasi terhadap Malaysia.

Akibat dari ini, Tunku Abdul Rahman telah mengadakan sessi penerangan dan rundingan diantara kerajaan Filipina dan Indonesia yang akhirnya semua pihak bersetuju untuk melantik sebuah Suruhanjaya Khas Bangsa Bangsa Bersatu bagi membuat pungutan suara rakyat Sabah dan Sarawak.

Walaubagaimanapun, hasrat Tunku Abdul Rahman untuk mengistiharkan penubuhan Malaysia pada 31 Ogos 1963 tidak dapat dicapai kerana keputusan pungutan suara Suruhanjaya Khas hanya dapat diketahui pada 13 September 1963.

Akhirnya pada 16 September 1963, Sabah, Sarawak dan Singapura telah bercantum dengan Persekutuan Tanah Melayu dan wujudlah sebuah negara baru, MALAYSIA, sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Rakyat daripada berbagai keturunan, kepercayaan agama akan bernaung di bawah satu Raja, satu Bangsa dan satu Negara.

dahulu ...
Bangsa Malaysia ... Negara Malaysia

kini ...
1 Malaysia


Ahad, 30 Ogos 2009

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE 52!

Rakyat Didahulukan, Pencapian Diutamakan

MERDEKA!!! ... MERDEKA!!! ... MERDEKA!!!

Selamat menyambut ulangtahun HARI KEMERDEKAAN KE 52 kepada semua warga SK Pandan Indah khasnya serta kepada seluruh warga Malaysia amnya.

Berapa ramaikah diantara kita maupun rakan kita masih mengingati SEMANGAT RUKUNEGARA?


BAHAWASANYA ... NEGARA KITA MALAYSIA, mendukung cita cita hendak ...
  • Mencapai perpaduan yang lebih erat dikalangan seluruh masyarakatnya
  • Memelihara satu cara hidup demokratik
  • Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama
  • Menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak
  • Membina satu masyarakat yang progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden

MAKA KAMI ... RAKYAT MALAYSIA, berikrar akan menumpukan sekuruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai citi cita tersebut berdasarkan atas prinsip prinsip yang berikut ...
  • Kepercayaan kepada Tuhan
  • Kesetian kepada raja dan negara
  • Keluhuran perlembagaan
  • Kedaulatan undang undang
  • Kesopanan dan kesusilaan

Negara telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun. Adakah pemikiran orang kita juga seiring dengan kemerdekaan yang kita telah dikecapi?

Adakah orang kita khasnya bangsa Melayu kita masih dengan tanggapan bahawa berpadalah mereka bersyukur dengan kemerdekaan yang telah dinikmati dan bermegah dengan kibaran Jalur Gemilang disetiap penjuru kenderaan serta rumah masing²?

Anda warga Malaysia yang merdeka. Anda tentukan sendiri ...

Jumaat, 21 Ogos 2009

SELAMAT BERPUASA!


Bulan Ramadhan adalah bulan paling istimewa antara 12 bulan dalam kalendar Islam. Keistimewaan bulan ini bukanlah kerana hikayat sejarah tertentu, tetapi kerana Ramadhan adalah pakej lengkap untuk membangunkan seluruh potensi manusia; fizikal, spiritual, intelek dan emosi dan modul teras di dalam Ramadhan adalah PUASA. Para ilmuan Islam meletakkan berpuluh-puluh nama dan gelaran untuk bulan yang mulia ini untuk menunjukkan betapa saratnya Bulan ini dengan keistimewaan daripada Allah SWT.

Salah satu sunnah yang sewajarnya kita hidupkan sebelum melangkah ke gerbang Ramadhan adalah dengan menyebarkan ucapan tahniah dan menzahirkan kegembiraan atas kunjungan bulan yang agung dan barakah ini. Ramadhan adalah tanda kasih sayang Allah kepada umat Muhammad yang tidak pernah dianugerahkan kepada mana-mana umat yang terdahulu. Antara ucapan yang biasanya diucapkan oleh para Salaf adalah ucapan “Ramadhan Kareem” yang bermaksud “Selamat menyambut Ramadhan yang mulia”.

Antara kelebihan yang terdapat pada bulan ini yang sewajarnya kita hayati dan meraihnya adalah seperti berikut:


1. Difardhukan Puasa dan ibadah-ibadah khusus yang lain;

Puasa adalah ibadah teras dalam bulan Ramadhan. Puasa bukan sekadar ujian fizikal semata-mata daripada menahan lapar dan dahaga, tetapi puasa juga adalah ibadah yang memantapkan spiritual dan kerohanian seorang hamba kepada Penciptanya. Bahkan puasa mengandungi pelbagai khasiat dari sudut perubatan yang telah diperakui oleh pakar-pakar sains kesihatan. Bahkan Allah merahsiakan betapa besarnya ganjaran orang yang berpuasa sebagaimana yang tersebut di dalam hadith:

“Setiap amalan anak Adam (manusia), diberikan ganjaran antara 10 hingga 700 kali ganda kecuali puasa. Sesungguhnya puasa adalah untukKU dan Akulah yang akan mengganjarinya” (riwayat Muslim).

Selain puasa, kita juga dianugerahi dengan amalan dan ibadah yang hanya dikhususkan dalam Ramadhan iaitu SOLAT SUNAT TARAWIH dan ZAKAT FITRAH.


2. Dibukakan pintu rahmat dan tertutup pintu-pintu kehinaan;

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila datangnya Ramadhan, dibukakan pintu-pintu Syurga, ditutup pintu-pintu Neraka dan dibelenggu Syaitan-syaitan” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada hadith ini bahkan daripada berpuluh hadith-hadith yang lain jelas menunjukkan betapa Ramadhan adalah bulan yang kondusif untuk melipatgandakan ibadah kepada Allah. Memang sekiranya diamati, kita dapat merasakan kelainan dalam melakukan ibadah dalam bulan yang istismewa ini.


3. Diturunkan Al Quran sebagai manual hidup manusia;

Wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah pada 17 Ramadhan. Firman Allah: “Pada bulan Ramadhan diturunkan Al Quran sebagai petunjuk, dan keterangan daripada petunjuk serta pemisah (antara benar dan salah)” (Surah al Baqarah: 2: 185).

Al Quran adalah rujukan kepada hamba Allah yang beriman. Kandungan Al Quran sentiasa mendahului zamannya dan meliputi segenap aspek kehidupan manusia. Malah, sebagaimana yang telah terbukti dalam banyak hal, kandungan Al Quran lebih saintifik dan rasional daripada teori-teori ciptaan manusia. Al Quran mengandungi hukum-hakam, sejarah umat terdahulu dan nilai-nilai hidup sebagai pedoman kepada manusia. Orang yang membaca dan memahami Al Quran sentiasa mendapat ketenangan dan inspirasi yang tidak putus-putus dalam hidupnya.


4. Laylatul Qadar (Malam Keutamaan/Kemuliaan) yang lebih baik dari seribu bulan

Firman Allah: “Laylatul Qadr adalah lebih baik daripada seribu bulan” (Surah al Qadr: 97: 3). Laylatul Qadr adalah salah satu malam dalam bulan Ramadhan. Tiada siapa yang mengetahui malam manakah berlakunya laylatul Qadr. Walaubagaimanapun Rasulullah SAW memberikan penekanan untuk memburu laylalatul Qadr pada sepuluh malam yang terakhir Ramadhan khususnya pada malam-malam angka ganjil. Hikmahnya, supaya manusia berlumba-lumba dan berusaha untuk mengerjakan ibadah untuk mendapat ganjaran seolah-olah beribadah selama seribu bulan ataupun 83 tahun lebih.

Akhirnya, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadith Rasulullah SAW:

“Barang siapa yang dikurniakan Ramadhan sedangkan dosanya tetap tidak diampunkan, Sesungguhnya ia semakin jauh daripada rahmat Allah” (riwayat Ibn Hibban- Sahih)

Selamat Berpuasa dan Beribadah.

Selasa, 11 Ogos 2009

PEMAKAIAN TOPENG MUKA KE SEKOLAH

Mulai 12hb Ogos 2009, warga SK Pandan Indah adalah digalakkan memakai topeng muka demi menjaga kesihatan diri serta mencegah dari terkena virus INFLUENZA A (H1Ni).




APAKAH H1Ni?
H1N1 adalah sejenis penyakit berjangkit pada saluran pernafasan yang disebabkan oleh sejenis virus yang baru dan terhasil daripada reassortment (percampuran) genetik virus influenza babi, burung dan manusia

GOLONGAN BERISIKO TINGGI
  1. Kanak kanak berumur bawah 5 tahun
  2. Dewasa berumur 65 tahun ke atas
  3. Wanita mengandung
BAGAIMANA H1N1 BERJANGKIT?
Virus ini berjangkit apabila pesakit batuk atau bersin. Titisan cecair pernafasan yang keluar akan terkena tangan pesakit, permukaan permukaan (surfaces) atau tersebar ke udara.

Seterusnya, seseorang akan dijangkiti sama ada melalui pernafasan; melalui sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan-permukaan yang tercemar dengan titisan cecair pesakit.

TANDA TERKENA H1N1
  1. Selesema
  2. Demam
  3. Batuk
  4. Sakit kepala
  5. Sakit badan
  6. Sakit tekak
  7. Muntah-muntah
  8. Cirit birit.

JIKA TERKENA H1N1
  1. Elakkan berada di tempat awam yang sesak.
  2. Berehat dan minum banyak air.
  3. Tutup mulut dan hidung bila batuk dan selesema.
  4. Elak menyentuh mata, hidung dan mulut.
  5. Gunakan topeng muka bagi mengelakkan titisan cecair tersebar kepada orang lain di sekeliling anda.
  6. Maklumkan keluarga dan rakan mengenai masalah kesihatan yang anda alami.
  7. Kerap mencuci tangan dengan air dan sabun.
  8. Jangan gunakan pengangkutan awam untuk menggelakkan jangkitan kepada orang lain.
  9. Jika demam, batuk & sakit tekak yang berterusan hendaklah segera berjumpa doktor

PENCEGAHAN H1N1
  1. Jauhi kawan-kawan yang nampak tidak sihat dan menghidapi demam dan batuk.
  2. Maklumkan kepada guru jika ada kawan-kawan yang yang nampak tidak sihat dan menghidapi demam dan batuk.
  3. Kerap cuci tangan dengan air dan sabun.
  4. Elak menyentuh muka, khususnya hidung dan mulut untuk mengurangkan kemungkinan jangkitan.
  5. Amalkan cara hidup sihat. Dapatkan tidur yang cukup, makan secara sihat dan lakukan aktiviti fizikal.
  6. Maklumkan kepada guru jika ada kawan-kawan yang baru pulang dari luar negara bagi tujuan pemantauan
JIKA KELAS / SEKOLAH DITUTUP AKIBAT H1N1
  1. Murid-murid hendaklah sentiasa berada di rumah.
  2. Minta ibubapa / penjaga memantau kesihatan diri.
  3. Tidak dibenarkan untuk mengikuti sebarang aktiviti sekolah

Bagi maklumat lanjut, sila hubungi Bilik Gerakan CPRC Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03–8881 0200/0300 atau e-mel ke cprc@moh.gov.my atau layari www.moh.gov.my

Sabtu, 8 Ogos 2009

GOTONG ROYONG PERDANA PIBG SKPI 2009

Tarikh
08 Ogos 2009 (Sabtu)

Masa
7.30 pagi hingga 12.00 tengahari

Lokasi
Sekolah Kebangsaan Pandan Indah














Selasa, 4 Ogos 2009

GOTONG ROYONG PERDANA PIBG SKPI 2009

Adalah dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa Program Gotong Royong Perdana anjuran Persatuan Ibubapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Pandan Indah (PIBG SKPI) akan dianjurkan seperti berikut:

Tarikh
8 Ogos 2009 (Sabtu)

Masa
7.30 pagi hingga 12.30 tengahari

Lokasi
SK Pandan Indah

Tujuan program ini diadakan adalah sebagai suatu ruang untuk pihak PIBG, guru dan ibubapa berinteraksi serta mengeratkan hubungan silaturrahim diantara satu sama lain. Ia juga turut membabitkan pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Ibubapa/penjaga juga diharap dapat membawa beberapa peralatan/perkakas seperti parang dan sebagainya untuk kegunaan semasa gotong royong nanti.

Pihak PIBG turut menyediakan makanan dan minuman disepanjang program berlangsung. Beberapa hadiah misteri turut disediakan demi memeriahkan lagi program ini nanti.

Sekain, harap maklum ...

P/S : Kepada bekas-bekas pelajar SK Pandan Indah, anda juga dijemput hadir bagi memeriahkan sama program ini. Tolong sampaikan ingo mengenai program ini kepada rakan yang lain.

Jumaat, 31 Julai 2009

SELAMAT HARI PAHLAWAN

Inilah barisan kita ...Yang ikhlas berjuang.
Siap sedia berkorban ... Untuk ibu pertiwi!

Sebelum kita berjaya ... Jangan harap kami pulang!
Inilah sumpah pendekar kita ... Menuju medan bakti!

Andai kata kami gugur semua ... Taburlah bunga di atas pusara.
Kami mohon doa ... Malaysia berjaya!
Semboyan telah berbunyi ... Menuju medan bakti!

Mereka melindungi negara daripada ancaman musuh luar dan dalam. Kepahlawanan mereka membolehkan rakyat Malaysia hidup dengan aman dan selamat sehingga hari ini.

Seharusnya Hari Pahlawan yang disambut pada setiap 31 Julai sejak 1960-an dikenang rakyat Malaysia bagi menghargai pengorbanan anggota keselamatan yang terkorban tidak kira tentera atau polis sebelum dan selepas Malaysia merdeka.

Hari Pahlawan yang juga dikenali sebagai "Poppy Day" menjadi tradisi bagi banyak negara untuk memperingati dan menghargai wira negara yang gugur. Di Malaysia "Bunga Raya" yang merupakan bunga kebangsaan kini diperkenalkan kembali sebagai lambang Hari Pahlawan bagi memperingati perjuangan perwira-perwira tanah air.

Simbol bunga raya digunakan sebagai lambang Hari Pahlawan amat sesuai kerana ia memenuhi ciri-ciri simbolik kepahlawanan sejati. Bunga raya yang berwarna merah melambangkan sifat keberanian dan keikhlasan para pahlawan yang rela berkorban nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara.

Jasa para pahlawan negara kita amat besar. Marilah kita sama sama menyedekahkan Al-Fatihah kepada pahlawan pahlawan kita yang sanggup bekorban demi mempertahankan agama, bangsa dan negara.


Merekalah pejuang ... Merekalah penyelamat.
Mereka mempertahankan negara bersama darah, nyawa dan semangat.

Selasa, 23 Jun 2009

H1N1: SRK ASSUNTA 2 TUTUP SEMINGGU

PENCEGAHAN... MURid-murid Sekolah Kebangsaan Assunta 2 di Petaling Jaya, Selangor memakai topeng mulut setelah seorang murid sekolah itu disahkan positif H1N1 oleh Kementerian Kesihatan, semalam. – Utusan/ASWAD YAHYA

KUALA LUMPUR 22 Jun – Selepas Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson diarahkan ditutup semalam, hari ini Kementerian Kesihatan mengarahkan sebuah lagi sekolah ditutup disebabkan wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 2 diarahkan ditutup selama seminggu berikutan seorang daripada muridnya dijangkiti H1N1.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, seorang pelajar perempuan warganegara Malaysia berumur 11 tahun yang belajar di sekolah berkenaan dikenal pasti sebagai kes ke-58 di negara ini yang disahkan positif H1N1.

“Pelajar perempuan tersebut merupakan kes jangkitan tempatan ke-7. Dia ialah kontak kepada kes 43 dan mula mengalami demam, batuk serta sakit tekak mulai semalam sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Dia disahkan positif H1N1 pada hari ini. Kami mengambil keputusan menutup SRK Assunta 2 mulai semalam hingga 27 Jun ini bagi memastikan wabak tersebut tidak merebak,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson di sini menjadi premis pertama di negara ini ditutup selama seminggu ekoran wujudnya penularan tempatan penyakit H1N1.

Tindakan tersebut diambil ekoran seorang murid perempuan berusia 11 tahun dari sekolah tersebut disahkan positif H1N1.

Menurut Tiong Lai, pihaknya menyeru pelajar sekolah SRK Assunta 2 menjalani kuarantin di rumah dan tidak menghadiri majlis-majlis terbuka serta pergi ke kelas tuisyen.

Beliau menambah, sebanyak lapan kes baru positif H1N1 termasuk kes pelajar SRK Assunta 2 telah dilaporkan di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dikesan adalah sebanyak 58 kes.

Tiong Lai memberitahu, buat masa ini, sejumlah 42 kes daripada 58 kes yang disahkan positif H1N1 masih dalam rawatan di hospital iaitu Hospital Sungai Buloh (22), Hospital Kuala Lumpur (7) dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (3).

“Hospital lain ialah Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (4), Hospital Ipoh (1), Hospital Pulau Pinang (2), dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar (3). Kesemua mereka berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya bagaimanapun tidak bercadang untuk menutup semua sekolah buat masa sekarang melainkan keadaan H1N1 di Malaysia berada dalam keadaan yang lebih membimbangkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, kementerian itu juga mengeluarkan arahan penutupan satu kelas bermula hari ini kepada tiga lagi sekolah.

“Satu kelas di Sekolah Antarabangsa Sri Cempaka di Cheras, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 Shah Alam dan Sekolah Menengah Damansara Utama di Petaling Jaya diarahkan tutup bermula hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata Mohd Ismail, ibu bapa kepada pelajar di sekolah-sekolah terbabit diminta memastikan anak-anak mereka berada di rumah dan tidak pergi ke tempat-tempat awam.

“Ibu bapa dan ahli keluarga kepada anak-anak yang diletak di bawah kuarantin di rumah boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

“Bagaimanapun ibu bapa dan ahli keluarga kepada kes yang disahkan positif hendaklah menjalani kuarantin di rumah seperti yang diarahkan oleh kementerian,” katanya.

UTUSAN MALAYSIA (23 JUN 2009)
Oleh LIAU PEI WEN dan FADZILAH BAHARUDIN
pengarang@yahoo.co.uk

Jumaat, 5 Jun 2009

DAULAT TUANKU!

Al-Wathiqu Billah, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah merupakan Sultan Negeri Terengganu yang ke 16 sebelum ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 13 Disember 2006.

Baginda Tuanku Mizan telah dilahirkan pada 22 Januari 1962 di Istana Al-Muktafi, Kuala Terengganu, ibu negeri Terengganu Darul Iman. Baginda merupakan putera sulung kepada Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah bersama Sharifa Nong Fatima.

Tuanku Mizan Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman dan kemudiannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Seterusnya baginda melanjutkan pelajarannya di Geelong Grammar School di Geelong, Australia. Pada tahun 1988, baginda menghabiskan pembelajarannya di U.S. International University-Europe di London dengan memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera di International Relationships pada 9 Jun 1988.

Baginda kemudiannya telah melibatkan diri dengan kursus ketenteraan PRE SMC (E) 33 di Army School of Languages daripada 2 November 1982 hingga 31 Mei 1983 dan kemudiannya menghadiri kursus ketenteraan SMC 33 di Akademi Tentera DiRaja Sandhurst di England daripada 3 Mei 1983, menghabiskan kursus Pegawai Kadet pada 9 Disember 1983. Baginda telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenen pada 1 Mac 1984 dan telah berkhidmat di dalam Pasukan Askar Berkuda DiRaja.

Baginda Tuanku Mizan telah ditabalkan sebagai Putera Mahkota Negeri Terengganu Darul Iman pada 6 November 1979 dan kemudiannya pemangku Sultan Terengganu daripada 20 Oktober hingga 8 November 1990.

Baginda berkahwin dengan Sultanah Nur Zahirah pada 28 Mac 1996 dan dikurniakan 2 putera serta 2 puteri berumur diantara 7 hingga 13 tahun.

Baginda merupakan Sultan Melayu termuda apabila menaiki takhta kerajaan Negeri Terengganu pada 15 Mei 1998 setelah kemangkatan ayahanda baginda. Baginda ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Terengganu pada 4 Mac 1999.

Pada 26 April 1999 baginda telah dilantik sebagai Timbalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke 11 Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan memangku jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berikutan kemangkatan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 21 November 2001.

Baginda sekali lagi dilantik sebagai Timbalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 13 Disember 2001 kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke 12 iaitu Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Pada 3 November 2006 Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke 13 mulai 13 Disember 2006 semasa berumur 44 tahun.

~ DAULAT TUANKU ~

Selasa, 2 Jun 2009