Selasa, 23 Jun 2009

H1N1: SRK ASSUNTA 2 TUTUP SEMINGGU

PENCEGAHAN... MURid-murid Sekolah Kebangsaan Assunta 2 di Petaling Jaya, Selangor memakai topeng mulut setelah seorang murid sekolah itu disahkan positif H1N1 oleh Kementerian Kesihatan, semalam. – Utusan/ASWAD YAHYA

KUALA LUMPUR 22 Jun – Selepas Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson diarahkan ditutup semalam, hari ini Kementerian Kesihatan mengarahkan sebuah lagi sekolah ditutup disebabkan wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 2 diarahkan ditutup selama seminggu berikutan seorang daripada muridnya dijangkiti H1N1.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, seorang pelajar perempuan warganegara Malaysia berumur 11 tahun yang belajar di sekolah berkenaan dikenal pasti sebagai kes ke-58 di negara ini yang disahkan positif H1N1.

“Pelajar perempuan tersebut merupakan kes jangkitan tempatan ke-7. Dia ialah kontak kepada kes 43 dan mula mengalami demam, batuk serta sakit tekak mulai semalam sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Dia disahkan positif H1N1 pada hari ini. Kami mengambil keputusan menutup SRK Assunta 2 mulai semalam hingga 27 Jun ini bagi memastikan wabak tersebut tidak merebak,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson di sini menjadi premis pertama di negara ini ditutup selama seminggu ekoran wujudnya penularan tempatan penyakit H1N1.

Tindakan tersebut diambil ekoran seorang murid perempuan berusia 11 tahun dari sekolah tersebut disahkan positif H1N1.

Menurut Tiong Lai, pihaknya menyeru pelajar sekolah SRK Assunta 2 menjalani kuarantin di rumah dan tidak menghadiri majlis-majlis terbuka serta pergi ke kelas tuisyen.

Beliau menambah, sebanyak lapan kes baru positif H1N1 termasuk kes pelajar SRK Assunta 2 telah dilaporkan di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dikesan adalah sebanyak 58 kes.

Tiong Lai memberitahu, buat masa ini, sejumlah 42 kes daripada 58 kes yang disahkan positif H1N1 masih dalam rawatan di hospital iaitu Hospital Sungai Buloh (22), Hospital Kuala Lumpur (7) dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (3).

“Hospital lain ialah Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (4), Hospital Ipoh (1), Hospital Pulau Pinang (2), dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar (3). Kesemua mereka berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya bagaimanapun tidak bercadang untuk menutup semua sekolah buat masa sekarang melainkan keadaan H1N1 di Malaysia berada dalam keadaan yang lebih membimbangkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, kementerian itu juga mengeluarkan arahan penutupan satu kelas bermula hari ini kepada tiga lagi sekolah.

“Satu kelas di Sekolah Antarabangsa Sri Cempaka di Cheras, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 Shah Alam dan Sekolah Menengah Damansara Utama di Petaling Jaya diarahkan tutup bermula hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata Mohd Ismail, ibu bapa kepada pelajar di sekolah-sekolah terbabit diminta memastikan anak-anak mereka berada di rumah dan tidak pergi ke tempat-tempat awam.

“Ibu bapa dan ahli keluarga kepada anak-anak yang diletak di bawah kuarantin di rumah boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

“Bagaimanapun ibu bapa dan ahli keluarga kepada kes yang disahkan positif hendaklah menjalani kuarantin di rumah seperti yang diarahkan oleh kementerian,” katanya.

UTUSAN MALAYSIA (23 JUN 2009)
Oleh LIAU PEI WEN dan FADZILAH BAHARUDIN
pengarang@yahoo.co.uk

Jumaat, 5 Jun 2009

DAULAT TUANKU!

Al-Wathiqu Billah, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah merupakan Sultan Negeri Terengganu yang ke 16 sebelum ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 13 Disember 2006.

Baginda Tuanku Mizan telah dilahirkan pada 22 Januari 1962 di Istana Al-Muktafi, Kuala Terengganu, ibu negeri Terengganu Darul Iman. Baginda merupakan putera sulung kepada Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah bersama Sharifa Nong Fatima.

Tuanku Mizan Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman dan kemudiannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Seterusnya baginda melanjutkan pelajarannya di Geelong Grammar School di Geelong, Australia. Pada tahun 1988, baginda menghabiskan pembelajarannya di U.S. International University-Europe di London dengan memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera di International Relationships pada 9 Jun 1988.

Baginda kemudiannya telah melibatkan diri dengan kursus ketenteraan PRE SMC (E) 33 di Army School of Languages daripada 2 November 1982 hingga 31 Mei 1983 dan kemudiannya menghadiri kursus ketenteraan SMC 33 di Akademi Tentera DiRaja Sandhurst di England daripada 3 Mei 1983, menghabiskan kursus Pegawai Kadet pada 9 Disember 1983. Baginda telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenen pada 1 Mac 1984 dan telah berkhidmat di dalam Pasukan Askar Berkuda DiRaja.

Baginda Tuanku Mizan telah ditabalkan sebagai Putera Mahkota Negeri Terengganu Darul Iman pada 6 November 1979 dan kemudiannya pemangku Sultan Terengganu daripada 20 Oktober hingga 8 November 1990.

Baginda berkahwin dengan Sultanah Nur Zahirah pada 28 Mac 1996 dan dikurniakan 2 putera serta 2 puteri berumur diantara 7 hingga 13 tahun.

Baginda merupakan Sultan Melayu termuda apabila menaiki takhta kerajaan Negeri Terengganu pada 15 Mei 1998 setelah kemangkatan ayahanda baginda. Baginda ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Terengganu pada 4 Mac 1999.

Pada 26 April 1999 baginda telah dilantik sebagai Timbalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke 11 Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan memangku jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berikutan kemangkatan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 21 November 2001.

Baginda sekali lagi dilantik sebagai Timbalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 13 Disember 2001 kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke 12 iaitu Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Pada 3 November 2006 Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke 13 mulai 13 Disember 2006 semasa berumur 44 tahun.

~ DAULAT TUANKU ~

Selasa, 2 Jun 2009