Rabu, 24 Mac 2010

KEJOHANAN BOLASEPAK MSSD HULU LANGAT (ZON AMPANG)

Selama 2 hari berturut-turut dari 23hb Mac 2010 hingga 24hb Mac 2010, sebanyak 14 buah sekolah telah menyertai Kejohanan Bolasepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Hulu Langat, Zon Ampang bagi peringkat umur 12 tahun ke bawah. SK Pandan Indah merupakan tuan rumah kejohanan pada tahun ini.

Perlawanan peringkat kumpulan pada hari Selasa 23hb Mac 2010 menyaksikan berbagai aksi dan kemahiran individu selain dari semangat berpasukan berjaya dipamerkan untuk tontonan para penyokong yang hadir memberi sokongan.



SK Pandan Indah telah diletakkan di dalam Kumpulan C bersama dengan SK Pandan Perdana dan SK Pandan Jaya. Nyata ketangkasan dan semangat berpasukan wira muda SK Pandan Indah berjaya membawa SK Pandan Indah ke peringkat suku akhir apabila memenangi kedua-dua perlawanan tersebut.

Pada peringkat suku akhir, SK Pandan Indah ditemukan dengan SK Lembah Jaya. Walaupun SK Pandan Indah berjaya menguasai permainan, namun pemain penyerang SK Pandan Indah tidak berjaya menjaringkan sebarang gol. Nasib tidak menyebelahi SK Pandan Indah apabila hasil dari serangan balas SK Lembah Jaya menyebabkan SK Pandan Indah ketinggalan 0-1 sehinggalah hampir ke masa penamat.

Pantang menyerah kalah dan dengan sokongan dari Guru Besar, Puan Nik Aziah Nik Yusoff serta ratusan penyokong, wira-wira SK Pandan Indah kembali menyusun permainan dan berjaya menjaringkan gol penyamaan 1 minit sebelum perlawanan tamat yang membawa ke masa tambahan. Nyata kegarangan wira muda SK Pandan Indah tidak dapat dibendung apabila berjaya menambah 3 lagi jaringan menjadikan SK Pandan Indah berjaya mara ke peringkat separuh akhir dengan jaringan 4-1 mengatasi SK Lembah Jaya.



Menanti SK Pandan Indah diperingkat separuh akhir adalah SK Ampang. Permainan agak seimbang dan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Namun kealpaan barisan pertahanan menyebabkan gawang SK Pandan Indah bocor sebanyak 2 kali.

Namun ini belum mematahkan semangat juang wira muda SK Pandan Indah. Ditambah lagi dengan sorakan dan sokongan padu penyokong, wira muda SK Pandan Indah kembali bangkit dan berjaya menjaringkan 2 gol penyamaan yang membawa ke masa tambahan.

Sepanjang masa tambahan, kedua pasukan masih meneruskan aksi menyerang walaupun bermain di dalam keadaan panas terik. Tamat masa tambahan masih belum ada pemenang menyebabkan keputusan perlawanan perlu ditentukan menerusi sepakan penalti.

Malang bagi wira muda SK Pandan Indah apabila mereka terpaksa menerima kenyataan tewas kepada SK Ampang menerusi sepakan penalti walaupun telah berjuang habis-habisan.

Guru Besar, Puan Nik Aziah Nik Yusoff turut sama merasakan kesedihan wira muda SK Pandan Indah apatah lagi sejurus selepas perlawanan, kesemua wira muda SK Pandan Indah telah bersalaman dengan beliau seraya memohon maaf kerana tidak berjaya meneruskan perjuangan SK Pandan Indah hingga ke perlawanan akhir.

Perlawanan akhir menemukan SK Ampang dan SK Taman Nirwana. Permainan seimbang namun nasib memihak kepada SK Taman Nirwana apabila berjaya menjuarai kejohanan ini buat kali kedua berturut-turut.

Acara perasmian penutup Kejohanan Bolasepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Hulu Langat, Zon Ampang bagi peringkat umur 12 tahun ke bawah tahun 2010 serta penyampaian hadiah telah disempurnakan sejurus selepas perlawanan akhir oleh Puan Nik Aziah Nik Yusoff.

Terima kasih diucapkan kepada jawatankuasa pelaksana Kejohanan Bolasepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Hulu Langat, Zon Ampang bagi peringkat umur 12 tahun ke bawah tahun 2010 yang diketuai oleh Cikgu Ronzi Zainal. Juga ucapan terima kasih kepada semua guru-guru pengiring sekolah terlibat, pengadil-pengadil perlawanan, pasukan pengakap sekolah serta tidak dilupakan ibubapa yang turut hadir menyaksikan kejohanan ini.



Nyata, penganjuran Kejohanan Bolasepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Hulu Langat, Zon Ampang bagi peringkat umur 12 tahun ke bawah tahun 2010 pada kali ini amat berjaya sekali dengan kerjasama guru-guru SK Pandan Indah dan semua yang terbabit.